Kelayakan Keanggotaan

Keanggotaan Koperasi ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang beragama

Islam di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Seseorang yang ingin menjadi anggota Koperasi ini mestilah :

(a)    warganegara Malaysia;

(b)    telah mencapai umur lapan belas tahun;

(c)    bermastautin atau mempunyai hartanah atau bekerja dalam kawasan operasi Koperasi ini; dan

(d)    bukan seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan yang boleh daftar, atau bankrap yang belum dilepaskan, atau pernah dibuang daripada keanggotaan mana-mana koperasi dalam tempoh satu tahun.

Permohonan menjadi anggota hendaklah dibuat dalam borang rasmi Koperasi ini dan dialamatkan kepada setiausaha CouniqSWP.

 Fi masuk

Setiap permohonan menjadi anggota hendaklah disertakan dengan fi masuk sebanyak RM50.00 (Ringgit: lima puluh sahaja). Fi masuk itu menurut perenggan 50(a) Akta akan dikembalikan kepada pemohon jika permohonannya ditolak oleh Lembaga.

Bekas anggota yang memohon untuk menjadi anggota semula perlu mengemukakan fi masuk sebanyak RM200.00 (Ringgit: dua ratus sahaja). Manakala penama atau wakil yang sah kepada anggota yang mati tidak akan dikenakan fi masuk jika memohon untuk menjadi anggota dalam tempoh enam bulan selepas kematian anggota itu.

Ikrar anggota

Seseorang yang memohon untuk menjadi anggota hendaklah diminta menandatangan suatu ikrar bahawa dia:

(a)   akan terikat dengan Undang-undang Kecil ini dan aturan-aturan aktiviti yang sedia ada serta apa-apa pindaan;

(b)   bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan;

(c)    bukan seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu       sabitan bagi kesalahan yang boleh daftar; dan

(d)    tidak pernah dibuang daripada keanggotaan mana-mana     koperasi dalam tempoh satu tahun.

Kegagalan pemohon menandatangan ikrar tersebut menyebabkan beliau tidak boleh diterima menjadi anggota.

Penerimaan menjadi anggota

Permohonan untuk menjadi anggota CouniqSWP akan dipertimbangkan oleh Lembaga dalam mesyuaratnya yang boleh menerima atau menolak sesuatu permohonan itu tanpa menyatakan sebab-sebabnya. Seseorang yang diterima menjadi anggota akan diberitahu secara bertulis dalam tempoh tidak lewat daripada tiga puluh hari selepas penerimaannya itu.

Perolehan hak, kewajipan dan liabiliti anggota

Menurut seksyen 28 Akta, tiap-tiap anggota yang telah menjelaskan bayaran RM500.00 (Ringgit: lima ratus sahaja) syer boleh melaksanakan segala hak, kewajipan dan liabiliti sebagai seorang anggota, sebagaimana yang terkandung di dalam Undang-undang Kecil ini.

Pemberian undang-undang kecil

Tiap-tiap anggota akan diberi satu naskah Undang-undang Kecil CouniqSWP dengan percuma. Anggota boleh mendapatkan naskah tambahan daripada CouniqSWP  dan akan dikenakan bayaran.

Penama

Tiap-tiap anggota Muslim hendaklah menamakan seorang wakil di sisi undang-undang untuk menerima setelah dia mati, wang yang terhak baginya di dalam CouniqSWP bagi diagihkan kepada waris yang berhak mengikut hukum Islam. Manakala bagi tiap-tiap anggota yang bukan Muslim hendaklah menamakan seorang atau lebih daripada seorang sebagai penama.

Penamaan hendaklah dibuat dalam borang rasmi CouniqSWP dan anggota juga boleh dari semasa ke semasa membatalkan atau menukar penamaan tersebut dan hendaklah memberitahu CouniqSWP akan perubahan tersebut dengan secepat mungkin untuk tindakan lanjut.

Liabiliti anggota

Liabiliti seseorang anggota akan terhad kepada jumlah syer yang dimilikinya sekiranya pendaftaran Koperasi ini dibatalkan dan liabiliti seseorang bekas anggota tidak akan berterusan lebih daripada dua tahun dari tarikh keanggotaannya terhenti, menurut subseksyen 35(1) Akta.

Harta pusaka seseorang anggota yang telah mati tidak bertanggungan bagi hutang Koperasi ini, sebagaimana yang ada pada tarikh kematiannya, melebihi tempoh dua tahun dari tarikh kematian itu menurut subseksyen 35(2) Akta dan harta pusaka ini adalah syer dalam CouniqSWP.

Hilang kelayakan sebagai anggota

Seseorang anggota akan hilang kelayakannya sebagai anggota jika dalam tempoh menjadi anggota, dia:

(a)     tidak upaya dari segi mental;

(b)     seorang bankrap yang  belum dilepaskan;

(c)      seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan boleh daftar;

(d)      telah dibuang daripada menjadi anggota di bawah Akta ini dan suatu tempoh selama satu tahun belum lagi berlalu dari tarikh pembuangan itu; atau

(e)      sekiranya dia tidak lagi bermastautin, mempunyai hartanah dan bekerja dalam kawasan operasi Koperasi.

Terhenti menjadi anggota

Keanggotaan  seseorang   anggota   terhenti  atas sebab berikut:

(a)      mati;

(b)      menarik diri menurut undang-undang kecil 22;

(c)      dibuang menurut undang-undang kecil 23; atau

Lembaga akan menyingkir seseorang anggota yang :

(a)      didapati membuat ikrar palsu menurut undang-undang kecil 14;

(b)      hilang kelayakan sebagai anggota menurut undang-undang kecil 20;

(c)      terhenti keanggotaannya menurut perenggan (c) fasal (1); atau

(d)      gagal menjelaskan syer minimum menurut undang-undang kecil 55.

Menarik diri

Seseorang anggota boleh menarik diri daripada Koperasi ini dengan memberi notis bertulis enam bulan terlebih dahulu kepada Lembaga. Atas sebab yang munasabah, Lembaga boleh membenarkan penarikan diri dalam tempoh yang singkat.

Melainkan tarikh lebih awal dipersetujui oleh Lembaga, maka keanggotaan anggota itu hendaklah terhenti hanya pada hari genap tempoh notisnya. Dalam tempoh notis itu, anggota yang demikian hendaklah masih mempunyai hak, kewajipan dan liabiliti sebagai seorang anggota.

Penggantungan dan pembuangan anggota

Seseorang anggota hendaklah dianggap telah bertindak memudaratkan kepentingan Koperasi dan boleh digantung keanggotaannya jika didapati melakukan mana-mana satu daripada perkara berikut:

(a)     merujukkan pertikaian atau aduan kepada mana-mana orang selain daripada Suruhanjaya;

(b)     membuat kenyataan dalam akhbar atau mana-mana media massa mengenai Koperasi ini tanpa kebenaran Lembaga;

(c)      membuat tuduhan palsu ke atas anggota Lembaga atau anggota atau bekas anggota atau pekerja Koperasi ini;

(d)      memburuk-burukkan Koperasi sehingga mencemarkan nama baik dan menjejaskan urusan perniagaan Koperasi ini; atau

(e)      bertindak di luar etika mesyuarat di dalam mana-mana mesyuarat  sehingga menjejaskan perjalanan mesyuarat itu.

Keputusan untuk menggantung keanggotaan seseorang anggota boleh dibuat oleh Lembaga hanya setelah anggota yang berkenaan itu diberitahu secara bertulis mengenai tuduhan yang jelas terhadapnya dan diberi peluang untuk menyatakan sebab mengapa keanggotaannya tidak boleh digantung.

Tiap-tiap kes penggantungan hendaklah dibentangkan kepada mesyuarat agung perwakilan yang terawal dan dijadikan sebagai agenda pertama, dan anggota yang digantung keanggotaannya itu hendaklah diberitahu secara bertulis tidak kurang daripada lima belas hari sebelum diadakan mesyuarat, berkaitan tarikh, masa, tempat dan haknya untuk membela diri akan dijalankan di mesyuarat itu.

Sebelum mengesahkan atau mengetepikan penggantungan itu, mesyuarat agung perwakilan hendaklah mendengar penjelasan anggota yang digantung oleh Lembaga itu, jika dia memilih untuk memberi penjelasan, dan keanggotaannya tidak lucut melainkan jika mesyuarat agung perwakilan dengan undi dua pertiga daripada perwakilan yang hadir membuat keputusan membuangnya.

Sehingga perkara penggantungan keanggotaannya diputuskan oleh mesyuarat agung perwakilan, anggota yang berkenaan itu tidak mempunyai apa-apa hak dan kewajipan sebagai anggota melainkan hak menyuarakan hal penggantungan keanggotaannya itu di dalam mesyuarat agung perwakilan.

Penyelesaian wang anggota

Jika seseorang anggota terhenti daripada menjadi anggota Koperasi ini menurut undang-undang  kecil 21, semua wang kepunyaannya melainkan nilai syer miliknya, setelah ditolak hutangnya dengan Koperasi ini hendaklah─

(a)    sekiranya dia ditamatkan keanggotaannya, dikembalikan kepadanya dengan segera tanpa apa-apa syarat;

(b)    sekiranya dia hilang keupayaan dari segi mental dan tiada pentadbir atau pemegang amanah bagi hartanya yang telah dilantik, dikembalikan kepada sesiapa yang difikirkan wajar untuk menerima bagi pihaknya sebaik sahaja penerima itu ditentukan;

(c)     sekiranya dia mati, dikembalikan kepada penamanya atau warisnya atau wakilnya yang sah, menurut seksyen 24 Akta, disyaratkan bahawa bagi seseorang anggota Muslim, pengembalian tidak boleh dibuat melainkan kepada wakilnya yang sah atau kepada Pegawai Pentadbir Pusaka jika selepas enam bulan dari tarikh kematiannya, wakilnya yang sah tidak dapat dipastikan atau tidak dilantik;

(d)    sekiranya dia menarik diri, dikembalikan kepadanya selepas akhir tempoh notis; dan

(e)     sekiranya dia tidak lagi bermastautin atau mempunyai hartanah atau bekerja dalam kawasan operasi Koperasi, dikembalikan kepadanya dengan sewajarnya.

(2)    Penyelesaian mengenai syer seseorang yang terhenti keanggotaannya sebagaimana yang ditentukan dalam akaun teraudit terakhir Koperasi ini, hendaklah tertakluk kepada peruntukan undang-undang kecil 57 dan 58

  • Mengenai Kami

    Assalamualaikum waramatullahiwabarakatuh.
    Selamat Datang ke Laman Sesawang Koperasi Urusan Ibadah Qurban Selangor dan Wilayah Persekutuan (CouniqSWP) yang sebelum ini juga pernah dikenali sebagai Koperasi Urusan Ibadah Qurban Selangor Berhad (CouniqS).
    Kami menyediakan perkhidmatan berkaitan ibadah qurban terutamanya Skim Tabungan Ibadah Qurban Dalam Talian (STIQDAT)
    Selamat melayari laman sesawang kami ini.
    Terima kasih diatas kesudian anda melawat laman ini.
  • Kandungan

  • Hubungi Kami

    Alamat
    Sukida Resort, Sg. Tekala,
    43500, Semenyih, Selangor.

    Telefon
    1. Pengerusi (En Aliff Razuki)
    - 013 - 672 4313
    2. Setiausaha (En Aswadi Jalil)
    - 019 - 353 5406
    3. Pengurus (En. Ahmad Darun Naim)
    - 010 - 287 2803

    Emel : CouniqSWP@gmail.com
  • Visitor Stats

    Today : October 21, 2017
    Today Visitors: 0
    Total Visitors: 7870
    Visitors Online: 0
    Users Online: 0